Popular Posts

Saturday, August 26, 2023

Aplikasi Canva

 

Perisian Canva



Saya menggunakan aplikasi Canva untuk melaksanakan editing untuk gambar saya.



Gambar asal sebelum editing dilakukan






Dan ini adalah gambar setelah editing dilakukan menggunakan aplikasi Canva. Anda hanya perlu muat turun aplikasi Canva ke telefon anda.
Atau layari di laman web

London, England

 

London, England













London merupakan ibu negara England dan terletak di selatan tanah besar UK. London juga adalah bandar terbesar di UK dan juga di Eropah. Bandar ini merupakan bandar yang paling terkenal di kalangan warga Malaysia dan juga warga dunia. Sebahagian besar rakyat Malaysia memasang impian untuk ke kota London sekiranya mereka melancong ke benua Eropah. Bahkan London turut merupakan bandar yang paling ramai pelancong di UK disebabkan kebanyakan mercu tanda terkenal adalah terletak di bandar ini. Di bandar inilah Perdana Menteri Malaysia yang pertama, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj berkunjung untuk berunding dan menuntut kemerdekaan Tanah Melayu daripada British. Sistem demokrasi berparlimen di negara kita sekarang juga merujuk kepada sistem demokrasi berparlimen daripada British dengan mencontohi sistem di Westminster (Parlimen UK).

Untuk berjalan di London, antara tips utama adalah anda harus mempunyai kad debit seperti Wise, BigPay, MAE, kad debit atau kad kredit untuk menaiki pengangkutan awam. Penggunaan kad-kad ini serupa dengan penggunaan Oyster Card. Pengangkutan awam di London tidak menerima bayaran secara tunai. Semua bayaran adalah secara contactless. Di London, terdapat daily cap iaitu caj maksimum harian untuk pengangkutan awam di bawah kendalian Transport For London (TFL). Jika anda menaiki underground tube sebanyak 4 kali atau lebih sehari, anda akan dapat manfaat daily cap. Setelah amaun mencecah pada daily cap, perjalanan anda seterusnya adalah percuma pada hari tersebut. Berjalanlah sebanyak mungkin dengan menaiki pengangkutan awam London kerana ianya sudah percuma untuk keseluruhan hari tersebut. Daily cap semasa adalah 12.50 pound sterling. Daily cap ini merangkumi semua jenis pengangkutan awam di London samada Underground Tube, DLR, bas, London Overground Train, Tram, Elizabeth Line dan lain-lain kecuali Uber Boat.

Bagi mercu tanda di London, antara mercu tanda yang terkenal di London adalah Big Ben. Big Ben adalah sebuah menara jam yang berusia lebih 150 tahun. Bangunan ini bersambung dengan Palace of Westminster, bangunan Parlimen UK. Di sini, biasanya para pelancong hanya bergambar dari luar sahaja. Di kawasan ini juga kita boleh bergambar di atas Sungai Thames dan berjalan untuk melawat London Eye Ferris Wheel di seberang sungai.

Seterusnya, anda juga boleh pergi ke Piccadily Circus, iaitu sebuah kawasan tumpuan pelancong yang terkenal dengan papan tanda iklan elektronik. Kawasan ini sangat sibuk kerana ia berdekatan dengan pusat membeli-belah selain merupakan junction yang sibuk untuk underground tube. Berdekatan dengan Piccadily Circus pula adalah Trafalgar Square dengan 10 minit berjalan kaki. Di sinilah terdapatnya banyak teater dan muzium seperti National Gallery. Mercu tanda di sini adalah tugu peringatan Nelson's Column. 

Bagi mereka yang minat dengan sejarah, Tower of London adalah destinasi yang wajib dikunjungi. Ianya merupakan sebuah bekas istana dan kubu yang berusia lebih 1000 tahun. Ianya juga pernah dijadikan sebagai penjara dan banyak kisah-kisah penyeksaan berlaku di sini. Harga tiketnya bermula daripada 34 pound sterling untuk seorang dewasa.

Satu lagi mercu tanda yang popular di London adalah Tower Bridge dan ianya terletak bersebelahan dengan Tower of London. Jambatan ini mempunyai 2 menara dan di bahagian tengah jambatan ini boleh dibuka bagi membolehkan kapal untuk lalu di Sungai Thames. Sudah semestinya sesiapa yang berkunjung ke London wajib untuk mengambil gambar kenangan di sini. 

Selain itu, Buckingham Palace juga tempat yang wajib untuk anda kunjungi. Istana ini merupakan kediaman rasmi dan pusat pemerintahan monarki British. Aktiviti-aktiviti rasmi yang berkaitan dengan King Charles sering dilangsungkan di sini. Para pelancong sering ke sini untuk melihat upacara pertukaran pengawal istana yang selalunya diadakan pada jam 11.30 pagi setiap hari dari bulan April hingga hujung Julai dan juga hari-hari tertentu pada waktu lain. Upacara ini berlangsung selama 45 minit dan bergantung dengan keadaan cuaca. 

Untuk bersiar-siar pula, ada banyak taman terdapat di London dan Hyde Park adalah taman yang terbesar dan terkenal di London. Kita boleh bersiar-siar atau berjogging di taman ini sekiranya cuaca baik dan tidak terlalu sejuk. Jika datang pada musim bunga, bolehlah bergambar di The Rose Garden. Selain itu, kita boleh berkelah di tepi tasik Serpentine atau di atas padang rumput setelah penat seharian berjalan.   

My Favourite Songs

 

Song Playlist


Sedikit perkongsian lagu kegemaran saya. Enjoy the songs and have a great day ahead.

Sunday, August 20, 2023

Bath, England

 

Bath, England











Bandar Bath terletak kira-kira 185km di barat London. Bandar yang paling berdekatan ialah Bristol yang terletak 20km dari Bath. Untuk ke bandar Bath, antara alternatifnya adalah dengan pemanduan selama 2 jam 15 minit daripada London dengan melalui Motorway M4. Untuk penggunaan pengangkutan awam pula, pelancong boleh menaiki bas daripada Victoria Coach Station yang akan mengambil masa 3 jam perjalanan. Anda boleh menaiki bas National Express untuk ke sini. Manakala untuk menaiki kereta api, pelancong boleh berlepas daripada stesen London Paddington ke stesen Bath Spa. Perjalanan ini akan mengambil masa 1 jam setengah. 

Yang menarik tentang Bath adalah ianya merupakan sebuah bandar kecil yang telah diwartakan sebagai tapak UNESCO World Heritage. Para pelancong semestinya akan terpesona dengan seni bina Roman dan Neo-klasikal Palladio di seluruh bandar. Kita akan terasa seperti berada di zaman dahulu. Bersesuian dengan nama Bath yang bermaksud mandi, bandar kecil ini dijadikan sebagai tempat mandi air panas dan spa oleh bangsa Roman pada abad pertama. Kita boleh melawat ke bangunan Roman Bath di tengah bandar dengan bayaran tiket sekitar 26 sehingga 28 pound sterling seorang dewasa. 

Di sini, cukup untuk anda sekadar mengadakan lawatan harian disebabkan ianya hanyalah sebuah bandar yang kecil. Sekiranya anda mempunyai lebihan masa, bolehlah melawat ke University of Bath yang terletak di atas bukit. Bath juga merupakan salah sebuah bandar universiti yang terkenal di UK.

Saturday, August 19, 2023

Oxford, England

 

Oxford, England


Bagi kita masyarakat Malaysia, UK amat sinonim sebagai destinasi pendidikan. Sudah tentu ada sanak-saudara atau sahabat mahupun kenalan kita yang sedang ataupun pernah melanjutkan pelajaran di UK. Lawatan ke universiti-universiti terkemuka dapat memberi inspirasi kepada seseorang terutamanya kepada anak kecil. Inilah masa untuk membakar semangat anak kecil untuk terus belajar sehingga berjaya memasuki universiti-universiti hebat contohnya universiti yang terdapat di UK.

Antara universiti yang terkemuka di UK dan amat sinonim kepada kita rakyat Malaysia adalah Oxford University dan Cambridge University (Oxbridge). Kedua-dua universiti ini terletak di dua bandar berbeza dan jauh antara satu sama lain iaitu sekitar 130km. Oxford University hanya terletak 95km dari bandar London. Ianya merupakan universiti berbahasa Inggeris tertua di dunia dan universiti kedua tertua dunia yang masih beroperasi sebagai institusi pendidikan sehingga kini. Oxford University dipercayai tertubuh semenjak abad ke-11. Ianya semakin aktif sebagai sebagai universiti pada abad ke-12.Pada ketika artikel ini ditulis, Oxford University merupakan universiti yang menduduki ranking pertama dunia. Oxford University telah melahirkan ramai tokoh-tokoh ilmuan, ahli-ahli nobel, ahli-ahli saintis, pakar-pakar daripada pelbagai bidang dan pemimpin-pemimpin yang berasal dari pelbagai negara. Sehingga kini, daripada keseluruhan 56 Perdana Menteri UK, 30 orang daripadanya graduan kelahiran Oxford University. Perdana Menteri UK sekarang, iaitu Rishi Sunak juga merupakan graduan universiti ini. Antara sosok pemimpin ataupun ahli politik Malaysia yang merupakan graduan Oxford University adalah Khairy Jamaludin dan Tony Pua. 

Oxford University merupakan kampus bandar, di mana bangunan universiti bercampur terus dengan bandar. Kita tidak akan jumpa pagar pintu dan pintu pengawal seperti yang biasa kita lihat di Malaysia. Ianya mudah untuk pelancong kerana boleh melawat bandar dengan universiti secara serentak. Bangunan-bangunan lama ratusan tahun masih tersergam dengan teguh dan cantik.

Untuk sistem pendidikan yang digelar sebagai Oxbridge (Oxford + Cambridge), ianya menggunakan sistem college dan berbeza dengan kebanyakan universiti yang lain. Para pelajar akan dimasukkan dalam sesebuah college dan di situ mereka tinggal, dipantau prestasi dan mendapatkan sistem sokongan. Selalunya ahli college akan bangga dan fanatik dengan college mereka. 

Antara alternatif untuk ke Oxford adalah dengan memandu sendiri ataupun dengan menggunakan pengangkutan awam dari London. Perkhidmatan pengangkutan awam sangat mudah dan banyak. Sekiranya memandu sendiri, perjalanan dari London akan mengambil masa 1 jam setengah dengan melalui Motorway M40. Sekiranya menggunakan bas, anda boleh menaiki bas Oxford Tube dan X90 dengan bertolak dari Victoria Coach Station ataupun Marble Arch dengan kekerapan setiap 12 - 20 minit. Perjalanan akan mengambil masa 1 - 2 jam. Jika menggunakan kereta api, anda boleh berlepas dari stesen Paddington atau Marylebone dengan perjalanan selama 1 - 2 jam. 




Friday, August 18, 2023

Cotswold AONB, England


COTSWOLD, ENGLAND




Datang ke UK tetapi tidak merasai pengalaman di kampung dan melihat rumah tradisional Inggeris (cottage) adalah sesuatu yang merugikan. Ia ibarat pelancong melawat ke negeri Kedah tetapi tidak melawat dan menikmati persekitaran sawah padi dan bergambar dengan rumah kayu di tepi bendang.

Cotswold merupakan kawasan perkampungan Inggeris, yang akan mengambil masa kira-kira 2 jam perjalanan dari London. Cotswold merupakan satu kawasan yang merangkumi 5 daerah. Perjalanan merentas kampung ini akan membolehkan kita menikmati keindahan pemandangan alam semulajadi. Kebanyakan rumah di sini dibina daripada batu Cotswold yang berwarna kekuningan seakan warna madu. Menjadi suatu kemestian untuk bergambar dengan English cottages di sini. 

Untuk akses ke kawasan ini, memandu kereta adalah alternatif yang paling sesuai disebabkan kebanyakan kampung sukar untuk dicapai dengan pengangkutan awam. Di sini, terdapat berpuluh-puluh kampung yang amat picturesque. Cotswold AONB dikatakan kawasan perkampungan paling cantik di UK. AONB bermaksud Area of Outstanding Natural Beauty.

Antara perkampungan yang wajib dikunjungi sekiranya melawat ke sini adalah :
  • Castle Combe 
  • Bibury
  • Bourton-on-the-Water
  • Lower Slaughter
  • Upper Slaughter
  • Lower Swell
  • Stow-on-the-Wold
Bagi yang memandu ke sini, anda boleh memandu menerusi Motorway M4 (London-Castle Combe), A40 & M40 (Stow-on-the-Wold-Burford-London). Sila awas dengan had laju yang dibenarkan di jalan utama iaitu sekitar 60mph & Motorway 70mph. Dan sila patuhi juga had laju di kawasan pekan dan perkampungan. Anda boleh rujuk papan tanda had laju di sekitar jalan-jalan kampung dan pekan di sini. Untuk memudahkan perjalanan, sila sediakan penggunaan aplikasi Google Maps ketika hendak memulakan perjalanan anda.












Thursday, August 17, 2023

Edinburgh, Scotland

 

EDINBURGH, SCOTLAND








Edinburgh merupakan ibu negara Scotland dan merupakan bandar kedua yang paling ramai pelancong di United Kingdom. Terletak kira-kira 650km daripada London, bandar ini agak jarang dikunjungi oleh pelancong Malaysia disebabkan lokasinya yang jauh terletak di bahagian utara United Kingdom. 

Edinburgh sesuai untuk mereka yang sukakan kecantikan muka bumi kerana bandarnya berbukit-bukau. Sebahagian bandar Edinburgh iaitu Old Town Ediburgh telah diwartakan sebagai UNESCO World Heritage Site sekaligus menjelaskan betapa bandarnya amat kaya dengan sejarah. Bandar ini juga menggamit sesiapa yang berminat dengan seni bina bandar lama. Seni bina lama di sini amat dijaga rapi dan suasananya mengimbau saya kembali ke zaman Medieval.

Antara tarikan di Edinburgh adalah Edinburgh Castle yang terletak di atas bukit batu. Istana ini merupakan lokasi pelancongan nombor satu di Scotland. Bahagian paling lama di istana ini adalah St Margaret Chapel yang dibina pada abad ke-12. Yang menarik di istana ini, kita boleh melihat berlangsungnya tembakan meriam (one o'clock gun) yang diadakan pada setiap 1.00 petang sebagai simbol tentang istana ini masih aktif. 

Selain itu, antara tarikan yang lain di bandar Edinburgh adalah Calton Hill. Perjalanan saya mendaki bukit ini mengambil masa kira-kira 10 minit sahaja. Di atas puncak bukit ini, anda boleh menikmati panorama memukau bandar Edinburgh dengan lebih dekat sambil menikmati keindahan alam semulajadi. Bagi saya, Edinburgh adalah bandar yang wajib dikunjungi sekiranya anda melancong ke UK. Sudah pasti saya akan kembali ke sini lagi pada masa akan datang untuk mengembara dengan lebih lama.

Tuesday, August 15, 2023

Liverpool, England


Liverpool, England









Bandar Liverpool, sebuah kubu kuat untuk Parti Buruh, sebuah parti haluan tengah kiri di Britain. Ketika zaman Margaret Thatcher sebagai Perdana Menteri, telah berlakunya pergolakan industri di Merseyside. Ketika era 1980-an, imej Liverpool sebagai bandar perindustrian dan sumber ekonomi utama telah menjunam dengan teruk. Rakyat di bandar ini percaya mereka telah diabaikan oleh kerajaan di bawah pentadbiran Parti Konservatif, Perdana Menteri Thatcher. Malahan, rakyat Liverpool menyatakan pemerintahan Thatcher adalah kuku besi dan mereka diabaikan daripada bandar-bandar lain yang lebih maju dan diberikan perhatian. Lebih memeritkan beberapa tragedi seperti tragedi Heysel, Hillsborough telah berlaku.
Ketika berlaku tragedi runsuhan di Hillsborough pada 1989, penyokong bolasepak Liverpool menganggap Perdana Menteri wanita yang digelar Iron Lady sebenarnya menyokong dan mendokong tindakan keras tanpa kompromi pihak Polis Yorkshire. Perdana Menteri Thatcher langsung tidak membela penyokong Liverpool.
Pada masa itu, sekurang-kurangnya 95 orang maut di tempat kejadian. Kapasiti stadium tidak dapat menampung jumlah kehadiran penyokong yang hadir. Keadaan menjadi tidak terkawal. Majoriti yang terkorban adalah penyokong bolasepak Liverpool, manakala mangsa lain adalah penyokong Nottingham Forest. Rusuhan antara penyokong Liverpool dan Nottingham Forest berlaku semasa separuh akhir Piala FA, 15 April 1989.
Selepas rusuhan itu, keluarga mangsa berharap kerajaan pentadbiran Perdana Menteri Thatcher akan menyiasat dengan teliti insiden keganasan berdarah yang dilakukan oleh pihak polis.
Selepas kejadian itu, Perdana Menteri Thatcher segera melawat Hillsborough dan polis South Yorkshire. Sudah ada perbincangan, tetapi tiada tindakan susulan berkaitan penyelesaian kes rusuhan itu.
Di akhir pentadbiran Perdana Menteri Thatcher, tiada seorang pun Ahli Parlimen dari Parti Konservatif di Liverpool. Semenjak peristiwa tersebut, sehingga sekarang Liverpool adalah bandar yang sinonim dengan pentadbiran Parti Buruh yang berperanan sebagai pembangkang di dalam dewan parlimen United Kingdom ketika ini. Walaupun ditadbir oleh parti pembangkang, kini Liverpool tetap menjadi salah sebuah bandar yang maju dan kian berkembang di United Kingdom yang dipacu dengan sumber ekonomi daripada pelbagai sektor.


Featured Post

My Favourite Songs

  Song Playlist Sedikit perkongsian lagu kegemaran saya. Enjoy the songs and have a great day ahead.

Most visited posts