Oxford, England



Bagi kita masyarakat Malaysia, UK amat sinonim sebagai destinasi pendidikan. Sudah tentu ada sanak-saudara atau sahabat mahupun kenalan kita yang sedang ataupun pernah melanjutkan pelajaran di UK. Lawatan ke universiti-universiti terkemuka dapat memberi inspirasi kepada seseorang terutamanya kepada anak kecil. Inilah masa untuk membakar semangat anak kecil untuk terus belajar sehingga berjaya memasuki universiti-universiti hebat contohnya universiti yang terdapat di UK.
Antara universiti yang terkemuka di UK dan amat sinonim kepada kita rakyat Malaysia adalah Oxford University dan Cambridge University (Oxbridge). Kedua-dua universiti ini terletak di dua bandar berbeza dan jauh antara satu sama lain iaitu sekitar 130km. Oxford University hanya terletak 95km dari bandar London. Ianya merupakan universiti berbahasa Inggeris tertua di dunia dan universiti kedua tertua dunia yang masih beroperasi sebagai institusi pendidikan sehingga kini. Oxford University dipercayai tertubuh semenjak abad ke-11. Ianya semakin aktif sebagai sebagai universiti pada abad ke-12.Pada ketika artikel ini ditulis, Oxford University merupakan universiti yang menduduki ranking pertama dunia. Oxford University telah melahirkan ramai tokoh-tokoh ilmuan, ahli-ahli nobel, ahli-ahli saintis, pakar-pakar daripada pelbagai bidang dan pemimpin-pemimpin yang berasal dari pelbagai negara. Sehingga kini, daripada keseluruhan 56 Perdana Menteri UK, 30 orang daripadanya graduan kelahiran Oxford University. Perdana Menteri UK sekarang, iaitu Rishi Sunak juga merupakan graduan universiti ini. Antara sosok pemimpin ataupun ahli politik Malaysia yang merupakan graduan Oxford University adalah Khairy Jamaludin dan Tony Pua.
Oxford University merupakan kampus bandar, di mana bangunan universiti bercampur terus dengan bandar. Kita tidak akan jumpa pagar pintu dan pintu pengawal seperti yang biasa kita lihat di Malaysia. Ianya mudah untuk pelancong kerana boleh melawat bandar dengan universiti secara serentak. Bangunan-bangunan lama ratusan tahun masih tersergam dengan teguh dan cantik.
Untuk sistem pendidikan yang digelar sebagai Oxbridge (Oxford + Cambridge), ianya menggunakan sistem college dan berbeza dengan kebanyakan universiti yang lain. Para pelajar akan dimasukkan dalam sesebuah college dan di situ mereka tinggal, dipantau prestasi dan mendapatkan sistem sokongan. Selalunya ahli college akan bangga dan fanatik dengan college mereka.
Antara alternatif untuk ke Oxford adalah dengan memandu sendiri ataupun dengan menggunakan pengangkutan awam dari London. Perkhidmatan pengangkutan awam sangat mudah dan banyak. Sekiranya memandu sendiri, perjalanan dari London akan mengambil masa 1 jam setengah dengan melalui Motorway M40. Sekiranya menggunakan bas, anda boleh menaiki bas Oxford Tube dan X90 dengan bertolak dari Victoria Coach Station ataupun Marble Arch dengan kekerapan setiap 12 - 20 minit. Perjalanan akan mengambil masa 1 - 2 jam. Jika menggunakan kereta api, anda boleh berlepas dari stesen Paddington atau Marylebone dengan perjalanan selama 1 - 2 jam.
No comments:
Post a Comment