Saya seorang peminat tegar Kelab Bolasepak Arsenal FC
Pada hari pertama saya berada di Kota London, saya telah berpeluang berkunjung ke Stadium Emirates, iaitu merupakan sebuah stadium ikonik bagi pasukan Arsenal FC. Impian saya untuk berkunjung ke rumah rasmi pasukan kesayangan saya akhirnya telah menjadi kenyataan. Untuk ke sini, perjalanan dengan menaiki Tube Underground mengambil masa kira-kira 30 minit daripada hotel penginapan saya yang terletak di South Ruislip di Zon 5, Kota London. Stadium Arsenal pula terletak di Zon 2.
Ketika lawatan ini, saya berpeluang mengunjungi kedai barangan rasmi pasukan Arsenal FC iaitu The Armoury. Terdapat pelbagai pilihan daripada pakaian seperti jersi pasukan sehingga ke barangan-barangan aksesori.
Namun begitu, tujuan utama saya berkunjung ke Stadium Emirates ini adalah untuk mengambil kesempatan untuk menerokai lawatan ke dalam stadium yang berkelas dunia ini. Saya telah memilih untuk mengambil pakej lawatan kendiri di mana harga tiketnya adalah bernilai £30 seorang. Dalam lawatan ini, pihak pengurusan telah menyediakan satu set earphone bersama satu handset device sebagai panduan kita sepanjang lawatan tersebut. Saya telah berkunjung ke Executive Box di mana ianya adalah pintu utama bagi orang-orang kenamaan dan juga tempat terletaknya pejabat pihak pengurusan tertinggi pasukan Arsenal FC. Kemudian, saya turut berpeluang untuk berkunjung ke ruang utama untuk penyokong kelas atasan. Di kawasan ini, pemegang tiket kelas atasan boleh menonton perlawanan bolasepak dengan hospitaliti bertaraf 5 bintang dengan sajian yang mewah. Seterusnya, saya turut berpeluang untuk mengunjungi pintu utama kemasukan para pemain, bilik persalinan pemain yang cukup ikonik dan sinilah setiap pemain bintang bolasepak bertaraf dunia sering melakukan persiapan sebelum dan selepas setiap perlawanan bolasepak. Saya turut berkunjung ke sekitar kawasan padang bolasepak dan berpeluang merasai pengalaman di kawasan pemain simpanan dan pengurus pasukan berada. Pengalaman ini sememangnya luar biasa bagi saya dan saya masih memasang impian untuk berkunjung lagi ke sini bagi menonton pasukan Arsenal FC beraksi. Antara pemain-pemain bintang pasukan Arsenal masa kini adalah Bukayo Saka, Martin Odegaard, Gabriel Martinelli, Thomas Partey, Gabriel Jesus, William Saliba dan ramai lagi yang diterajui oleh pengurus pasukan, Mikel Arteta.
No comments:
Post a Comment