London, England
London merupakan ibu negara England dan terletak di selatan tanah besar UK. London juga adalah bandar terbesar di UK dan juga di Eropah. Bandar ini merupakan bandar yang paling terkenal di kalangan warga Malaysia dan juga warga dunia. Sebahagian besar rakyat Malaysia memasang impian untuk ke kota London sekiranya mereka melancong ke benua Eropah. Bahkan London turut merupakan bandar yang paling ramai pelancong di UK disebabkan kebanyakan mercu tanda terkenal adalah terletak di bandar ini. Di bandar inilah Perdana Menteri Malaysia yang pertama, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj berkunjung untuk berunding dan menuntut kemerdekaan Tanah Melayu daripada British. Sistem demokrasi berparlimen di negara kita sekarang juga merujuk kepada sistem demokrasi berparlimen daripada British dengan mencontohi sistem di Westminster (Parlimen UK).
Untuk berjalan di London, antara tips utama adalah anda harus mempunyai kad debit seperti Wise, BigPay, MAE, kad debit atau kad kredit untuk menaiki pengangkutan awam. Penggunaan kad-kad ini serupa dengan penggunaan Oyster Card. Pengangkutan awam di London tidak menerima bayaran secara tunai. Semua bayaran adalah secara contactless. Di London, terdapat daily cap iaitu caj maksimum harian untuk pengangkutan awam di bawah kendalian Transport For London (TFL). Jika anda menaiki underground tube sebanyak 4 kali atau lebih sehari, anda akan dapat manfaat daily cap. Setelah amaun mencecah pada daily cap, perjalanan anda seterusnya adalah percuma pada hari tersebut. Berjalanlah sebanyak mungkin dengan menaiki pengangkutan awam London kerana ianya sudah percuma untuk keseluruhan hari tersebut. Daily cap semasa adalah 12.50 pound sterling. Daily cap ini merangkumi semua jenis pengangkutan awam di London samada Underground Tube, DLR, bas, London Overground Train, Tram, Elizabeth Line dan lain-lain kecuali Uber Boat.
Bagi mercu tanda di London, antara mercu tanda yang terkenal di London adalah Big Ben. Big Ben adalah sebuah menara jam yang berusia lebih 150 tahun. Bangunan ini bersambung dengan Palace of Westminster, bangunan Parlimen UK. Di sini, biasanya para pelancong hanya bergambar dari luar sahaja. Di kawasan ini juga kita boleh bergambar di atas Sungai Thames dan berjalan untuk melawat London Eye Ferris Wheel di seberang sungai.
Seterusnya, anda juga boleh pergi ke Piccadily Circus, iaitu sebuah kawasan tumpuan pelancong yang terkenal dengan papan tanda iklan elektronik. Kawasan ini sangat sibuk kerana ia berdekatan dengan pusat membeli-belah selain merupakan junction yang sibuk untuk underground tube. Berdekatan dengan Piccadily Circus pula adalah Trafalgar Square dengan 10 minit berjalan kaki. Di sinilah terdapatnya banyak teater dan muzium seperti National Gallery. Mercu tanda di sini adalah tugu peringatan Nelson's Column.
Bagi mereka yang minat dengan sejarah, Tower of London adalah destinasi yang wajib dikunjungi. Ianya merupakan sebuah bekas istana dan kubu yang berusia lebih 1000 tahun. Ianya juga pernah dijadikan sebagai penjara dan banyak kisah-kisah penyeksaan berlaku di sini. Harga tiketnya bermula daripada 34 pound sterling untuk seorang dewasa.
Satu lagi mercu tanda yang popular di London adalah Tower Bridge dan ianya terletak bersebelahan dengan Tower of London. Jambatan ini mempunyai 2 menara dan di bahagian tengah jambatan ini boleh dibuka bagi membolehkan kapal untuk lalu di Sungai Thames. Sudah semestinya sesiapa yang berkunjung ke London wajib untuk mengambil gambar kenangan di sini.
Selain itu, Buckingham Palace juga tempat yang wajib untuk anda kunjungi. Istana ini merupakan kediaman rasmi dan pusat pemerintahan monarki British. Aktiviti-aktiviti rasmi yang berkaitan dengan King Charles sering dilangsungkan di sini. Para pelancong sering ke sini untuk melihat upacara pertukaran pengawal istana yang selalunya diadakan pada jam 11.30 pagi setiap hari dari bulan April hingga hujung Julai dan juga hari-hari tertentu pada waktu lain. Upacara ini berlangsung selama 45 minit dan bergantung dengan keadaan cuaca.
Untuk bersiar-siar pula, ada banyak taman terdapat di London dan Hyde Park adalah taman yang terbesar dan terkenal di London. Kita boleh bersiar-siar atau berjogging di taman ini sekiranya cuaca baik dan tidak terlalu sejuk. Jika datang pada musim bunga, bolehlah bergambar di The Rose Garden. Selain itu, kita boleh berkelah di tepi tasik Serpentine atau di atas padang rumput setelah penat seharian berjalan.